Sabtu, 24 Mac 2012

PERIBAHASA

SENARAI PERIBAHASA TINGKATAN 4 :

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Masyarakat di kampung itu bersetuju untuk mengadakan aktiviti gotong royong pada minggu hadapan kerana mengamalkan sikap bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Biarpun Amin adalah darah daging kepada Pak Abu, namun beliau tetap melaporkan kegiatan tidak bermoral yang dilakukan oleh Amin kepada pihak berkuasa.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Negara Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain kerana kebijaksanaan pemimpin memakmurkan negara ini.

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

Sifat murah hati yang diamalkan oleh pelajar itu telah membolehkannya memperoleh gelaran pelajar cemerlang sahsiah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.



Senarai Peribahasa dalam Buku teks Tingkatan 5


1. lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Penduduk kampung terus menderita akibat sikap lintah darat yang diamalkan oleh peniaga-peniaga yang menjual barangan keperluan harian.

2. bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

3. anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

5. kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah


6. indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

7. hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

8. bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

9. kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

10. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

11. masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

12. ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya..

13. memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

14. kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

16. yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

17. sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

18. bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

19. bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

20. yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

21. mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

22. biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

23.sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

24. berbesar hati
Maksud : Gembira.

25. anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

26. tuan rumah
Maksud : tempat berlangsungnya sesuatu acara

27. yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

28. batu penghalang
Maksud : Halangan

Pemuda itu telah menjadi batu penghalang kepada Samsuri untuk mengahwini Mazida kerana beliau juga ada hati kepada wanita itu.

29 untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

30. bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.


MAKSUD PERIBAHASA DAN CONTOH AYAT :

1. Ada air adalah ikan.
Maksud : Di mana-mana sahaja kita tinggal, di situ ada rezeki.

Contoh ayat : Walau ke mana-mana sahaja kita pergi, janganlah cepat kecewa kerana di mana ada air adalah ikan.

2. Ada gula adalah semut
Maksud : Apabila sesuatu tempat itu mudah mendapat kesenangan atau kemewahan di situlah ramai orang berkumpul.

Contoh ayat : Di bandar itu ramai orang tinggal kerana senang mendapat rezeki dan kemewahan, seperti kata peribahasa ada gula adalah semut.

3. Air dicencang tidak akan putus
Maksud : Perselisihan antara adik-beradik tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berbaik semula.

Contoh ayat : Ahmad yang tidak bertegur sapa dengan abangnya selama setahun, sekarang telah berbaik-baik semula kerana air dicencang tidak akan putus.

4. Air pun ada pasang surutnya
Maksud : Untung dan malang nasib seseorang itu sentiasa bertukar ganti.

Contoh ayat : Nasib Pak Zaki samalah seperti keadaan air pun ada pasang surutnya kerana dahulu dia hidup mewah tetapi sekarang dalam kesusahan.

5. Air sama air, sampah ke tepi juga
Maksud : Jangan mencampuri pergaduhan adik-beradik atau sekeluarga kerana apabila mereka berbaik semula kita akan tersisih.

Contoh ayat : Karim yang mencampuri perselisihan Ismail sekeluarga kini tidak dipedulikan lagi apabila keluarga Ismail berbaik semula kerana air sama air, sampah ke tepi juga akhirnya.

6. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya
Maksud : Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.

Contoh ayat : Faridah itu umpama air yang tenang jangan disangka tiada buaya, walaupun dia sentiasa pendiam tetapi bijak dan berani memberikan pendapat.

7. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan
Maksud : Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dibuat sehingga selesai dan berjaya.

Contoh ayat : Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang kerana alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

8. Alah bisa, tegal biasa
Maksud : Perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu dibuat.

Contoh ayat : Kerja memotong kayu itu alah bisa, tegal biasa sahaja bagi Ah Kow kerana sejak kecil lagi dia telah melakukannya.

9. Alah membeli, menang memakai
Maksud : Walaupun terasa berat membeli sesuatu barang yang mahal harganya tetapi barang itu bermutu dan tahan Iama.

Contoh ayat : Saya tetap membeli baju yang mahal harganya itu kerana saya percaya alah membeli, menang memakai.

10. Alah sabung, menang sorak
Maksud : Harta benda habis tetapi faedahnya tidak didapati.

Contoh ayat : Perbuatan Pak Leman itu alah sabung, menang sorak kerana wangnya banyak habis tetapi cita-citanya untuk menjadi pemimpin di kampung itu tidak berjaya.

Latihan Tatabahasa


Latihan 1

Isi tempat kosong dengan kata adjektif yang sesuai .
1. Masakan ibu saya sungguh ___________.
2. Pokok kelapa yang ____________ itu sudah berbuah .
3. Kakak  tidah suka makan ubat kerana rasanya _______________ .
4. Rosnah suka memakai baju berwarna ________________ .
5.Jangan bergaur dengan budak-budak _______________ itu .
6. Badan Mazliana _______________ kerana menghidap penyakit leukimia .
7. Muka Rosnizah ________________ seperti bulan mengambang .
8. Abang menunggang motosikal terlalu _______________ .
9. Jalan ke rumah Senin  _____________ dan bengkang-bengkok .
10. Nenek Salmah tidak dapat makan kuih itu kerana terlalu ______________ . 


Latihan 2

Garis kata adjektif dalam ayat-ayat di bawah ini .
1. Nasi yang dimasak oleh ibu terlalu lembik .
2. Tiang itu condong kerana dilanggar kereta .
3. Kakinya terasa lenguh kerana terlalu jauh berlari .
4.Kami memerlukan galah yang lebih panjang untuk mengait buah rambutan itu.
5.Puan Ramlah menyedia makanan yang lazat untuk keluarganya.
6.Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal itu nyaris menemui maut.
7.Jam tangan Ramlan lambat sepuluh minit.
8.Puan Noriah membalut luka anaknya dengan kain nipis.
9.Ayah memakai baju Melayu berwarna kelabu ke masjid.
10.Pakaian yang tersidai itu masih lembap.

Ahad, 18 Mac 2012

Nota poket Antologi Dirgahayu Bahasaku - Tingkatan 5

Dirgahayu Bahasaku
(Ahmad Sarju)
Maksud
Rangkap 1
Bahasa Melayu tetap bersemadi di sanubari orang-orang Melayu. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, setia dan amanah.
Rangkap 2
Bahasa dilihat sebagai simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan agar terus kukuh dan menjadi keutamaan dalam banyak hal. Bahasa hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin terutama dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.
Rangkap 3
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang demi mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada.
Rangkap 4
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah sebagai pelayar hebat. Mereka begitu berani menjelajah dari sebuah pulau ke sebuah pulau dan dari sebuah benua ke benua yang lain. Dari situ bahasa Melayu mula tersebar.
Rangkap 5
Bahasa Melayu tetap di hati. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bangsa Melayu turut dikenali. Kini bangsa Melayu menempa kejayaan demi kejayaan.
Tema
Semangat cinta akan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.
Persoalan
1. Persoalan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu.Bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara ini.
2. Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa. Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.
3. Persoalan sejarah kegemilangan Bahasa Melayu.Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya yang tersendiri.
4. Persoalan kepentingan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.
Bentuk
1. Bebas
2. Terdapat 5 rangkap
3. Rima akhir baris-baris ayat
 Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.
·
 Rangkap 2 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnyanya aabab
·
 Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abbcc
·
 Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya aaabb
·
 Rangkap 5 terdapat 7 baris ayat. Rima akhirnya abaccaa
·
Nada
Patriotik
Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya :setia dan amanah
2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya; warga yang berbudi
3. Aliterasi – perulangan konsonan’m’
Contohnya : hak bangsaku memilikimu
4. Asonansi – perulangan vokal ’a’
Contohnya : Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan
5. Sinkope . Contohnya: mu, ku, tak
6. Metafora
Contohnya : lautan bijaksana, mutiara silam, lagu bahasamu
7. Perlambangan
Contohnya ; pejuangku, pelautku, pulau
8. Personifikasi
Contohnya : bahasaku mencengkam, suaramu tumbuh.
9. anaforaContohnya ; hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
10. Epifora Contohnya ; hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu
Nilai
1. Nilai bersopan santun. Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.
2. Nilai setia pada bangsa. Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan.
3. Nilai amanah dalam meneruskan warisan bangsa.Warisan bangsa perlu dipertahankan.
4. Nilai mencintai bahasa bangsa sendiri. Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai bahasanya sendiri.
5. Nilai bersatu padu semasa menggunakan bahasa yang sama Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatupadu..
6. Nilai kegigihan dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan.Sifat ini penting agar penggunaan bahasa Melayu dapat diteruskan.
Pengajaran
1. Kita hendaklah mencintai bahasa Melayu hendaklah sepenuh jiwa.
2. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahan dan memartabatkan bahasa Melayu .
3. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
4. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan mendapat perhatian masyarakat dunia.



 
 
Pasar Perasaan
(T. Alias Taib)
Maksud
Rangkap 1
Penulis mendapati warung atau kedai kopi menjadi gelanggang untuk pengunjung melontarkan pendapat dan berdebat. Perdebatan yang berlaku pula dikuasai oleh emosi.
Rangkap 2
Semasa berdebat, kata-kata yang dilontarkan lebih luahan perasaan dan bukannya hasil daripada pertimbangan akal fikiran.
Rangkap 3
Mereka juga melontarkan pelbagai hujah sesuka hati tanpa sebarang makna dan fakta kukuh. Hujah-hujah yang sebegitu rapuh dan mudah disangkal.
Rangkap 4
Di warung jugalah para pengunjung silih berganti dan kerap menjadi tumpuan. Di sinilah mereka kerap berbual-bual dan berdebat kosong tanpa kesudahan.
Rangkap 5
Di warung jugalah, para pengunjungnya memperlihatkan kelemahan mereka yang kurang ilmu pengetahuan. Perdebatan kosong terus menjadi agenda walaupun tidak membawa kebaikan.
Rangkap 6
Penyajak cuba terlibat dan menyelami intipati perdebatan tersebut. Beliau mendapati pendebat-pendebat itu lebih dikuasai emosi ketika berbicara berbanding fakta dan ilmu.
Rangkap 7
Bagi penyajak perdebatan di warung atau kedai kopi hanya sesuai untuk mereka bercakap tanpa berfikir dahulu. Perdebatan nampak menarik tetapi tidak membawa makna.
Tema
Perbincangan kosong di kedai kopi. Seringkali dikatakan kedai kopi sebagai tempat perdebatan pengunjungnya. Hujah mereka kosong tanpa fakta dan ilmu. Hanya sekadar meluahkan perasaan. Seringkali juga berlaku perdebatan yang sia-sia kerana dikuasai emosi.
Persoalan
1. Persoalan perbincangan kosong dan tidak ilmiah hanya sekadar menghamburkan kata-kata dan meluahkan perasaan.
2. Persoalan luahan pendapat akan menjadi sia-sia kerana kurangnya kebijaksanaan.
3. Persoalan pendapat tanpa ilmu dan fakta mudah dipatahkan dan ditepis.
4. Persoalan kepentingan ilmu pengetahuan dalam menyampaikan hujahan.
Bentuk
1. Bebas
2. Terdapat 7 rangkap
3. Rima akhir baris-baris ayat
 Rangkap 1 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abb·
 Rangkap 2 terdapat 4 baris ayat. Rimanya abcd·
 Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abbcd·
 Rangkap 4 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abc·
 Rangkap 5 terdapat 3 baris ayat. Rima akhirnya abc·
 Rangkap 6 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya aaabb·
 Rangkap 7 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya ab·
Nada
Sinis
Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya ; ini pasar perasaan
2. Diksi – mudah difahami dan puitis.
Contohnya :bagai ranting kering
3. Aliterasi – perulangan konsonan’n’
Contohnya :: di tengah-tengah penjual dan pembeli
4. Asonansi – perulangan vokal ’i’
Contohnya : kususuri sungai sibuk ini
5. Personifikasi
Contohnya : ini pasar tidak berakal
6. Metafora
Contohnya : pasar perasaan , sungai manusia
7. Simile
Contohnya : bagai kayu buruk.
8. Epifora
Contohnya ; kumasuki pasar ini
kususuri sungai sibuk ini
Nilai
1. Nilai rasional . Kerasionalan diperlukan dalam menyampaikan maklumat.
2. Nilai kerajinan. Kerajinan diperlukan untuk mencari ilmu untuk menguasai kemahiran
3. Nilai kebijaksanaan. Nilai ini diperlukan untuk mengemukakan maklumat
4. Nilai kesabaran . Kesabaran diperlukan dalam menghadapi cabaran hidup..
5. Nilai keprihatinan . Keperihatinan terhadap persekitaran amat diperlukan..
Pengajaran
1. Kita hendaklah mendengar dengan teliti sebelum memberi pendapat.
2. Kita mestilah mengemukakan pendapat yang bernas dan berfakta
3. Kita janganlah beremosi ketika berdebat kerana ini akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.

Selasa, 6 Mac 2012

Pautan ilmu

Panitia Bahasa Melayu mengajak anda berkongsi ilmu dengan melayari beberapa pautan berkaitan bahasa Melayu untuk pemahaman yang lebih jelas dalam aspek tatabahasa dan beberapa pengetahuan yang perlu anda ketahui. Jom layari laman web http://www.slideshare.net/zeknasir/kesalahan-tatabahasa-7482342