Sabtu, 18 Februari 2012

NOVEL DI SEBALIK WAJAH


SINOPSIS

        Novel Di Sebalik Wajah mengisahkan kesukaran hidup yanag terpaksa ditempuh oleh seorang budak lelaki yanag sejak azalinya dilahirkan balar, berkulit putih kemerahan, berambut kuning keemasan yang dinamakan sebagai Doktor Fikri.
      Selepas bapanya , Cikgu Saiful berpindah ke pekan Menggatal, Doktor Fikri bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal di tingkatan Dua Mawar. Di sana, dia berkawan rapat dengan beberapa oranag rakan seperti Azizi, Suriani , Josy, Dayang Mahani dan Sanin.Walaupun sering diejek akan penampilannya yang berbeza namun Doktor Fikri tidak pernah mengambil hati. Malah, dia mempelawa rakan-rakannya itu ke rumahnya untuk melihat hobinya menanam sayur dan memelihara ayam. Selain itu, Doktor Fikri juga gemar membaca. Oleh sebab itu, terdapat perpustakaan mini di dalam rumahnya dan Doktor Fikri mempelawa rakan-rakannya meminjam buku miliknya. Dia juga mengajak rakan-rakannya ke Tamu Menggatal untuk bersama-sama menjual sayur-sayuran yang ditanam. Namun nasib kurang menyebelahi mereka apabila hujan turun dengan lebatnya pada hari itu. Akibatnya, hasil yang diperoleh kurang memberangsangkan.
      Narius, Jais dan Jamadi ialah murid-murid nakal di sekolah Doktor Fikri. Mereka merupakan murid-murid tingkatan empat. Mereka memeras ugut  Doktor Fikri untuk meberikan wang sebagai cukai kepada mereka.Namun akhirnya mereka tertangkap oleh pihak sekolah dan dihukum rotan di hadapan perhimpunan sekolah.Rentetan itu mereka berdendam kepada Doktor Fikri yang disangka telah melaporkan kejadian tersebut kepada guru disiplin.
     Satu pemeriksaan mengejut dilakukan  di sekolah Doktor Fikri. Semasa pemeriksaan dijalankan di tingkatan Dua Mawar, buku-buku perpustakaan, pen dan dompet yang dilaporkan hilang oleh murid-murid di sekolah itu ditemui dalam beg sekolah Doktor Fikri. Doktor Fokri dituduh mencuri oleh rakan-rakannya dan hubungan mereka menjadi renggang. Hanya Josy yang mempercayai kata-kata Doktor Fikri.
     Walau bagaimanapun, rahsia akhirnya terbongkar jua setelah Narius dan rakan-rakannya berjaya diberkas oleh pihak polis atas pelbagai kesalahan termasuk mencuri basikal baharu  Doktor Fikri. Namun, niat baik Doktor Fikri memujuk ayahnya supaya menjamin Narius menyebabkan Narius berasa kesal dan malu akan sikap buruknya terhadap Doktor Fikri selama ini.
     Selepas kejadian itu, hubungan antara Narius dan Doktor Fikri semakin rapat .Hal ini menimbulkan keraguan rakan-rakannya yang bimbang Doktor Fikri terpengaruh denga kelakuan buruk Narius. Narius dan rakan-rakanya masuk ke kelas Tingkatan Dua Mawar dan
memperjelaskan kedudukan sebenar dan memohon maaf kepada rakan-rakan Doktor Fikri. Narius dan rakan-rakannya juga menyampaikan sepucuk surat daripada Doktor Fikri kepada rakan-rakan baik Doktor Fikri. Pemergian Doktor Fikri dan keluaraganya  ke Jepun amat memeranjatkan mereka.
    Setelah setahun berlalu, Doktor Fikri dan keluarganya pulang ke Malaysia. Kepulangan mereka disambut mesra oleh rakan-rakan Doktor Fikri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Rakan-rakan Doktor Fikri menawarkan untuk mengemaskan rumahnya yang telah lama ditinggalkan.  Dalam pada itu, Doktor Fikri turut memberikan cenderamata kepada rakan-rakan baiknya itu di samping mencerikatakan pengalamannya berada di Jepun.
     Doktor Fikri menyampaikan hasratnya untuk menawan puncak Gunung Kinabalu kepada kedua-dua  orang tuanya. Ibu dan bapanya bersetuju untuk menunaikannya. Mereka berehat di Panalaban sebelum meneruskan pendakian. Semasa berada di rumah rehat itu. Doktor Fikri telah bermimpi dikejar oleh seekor naga yang menjadi dongeng masyarakat Dusun sehinggakan dia terjatuh dari katil dan menyebabkan penghuni rumah rehat Panalaban berasa terkejut akan jeritan Doktor Fikri.

Tema

Dalam novel Di Sebalik Wajah, tema yang ingin disampaikan oleh pengarang ialah kehidupan suka dan duka seorang budak balar. Novel ini mefokuskan kehidupan yang dialami oleh seorang budak balar yanag berambut kuning keemasan dan berkulit putih yanag mempunyai nama yang unik iaitu Doktor Fikri. Dia menjadi bahan ejekan dan sering dicemuh oleh murid-murid lain disekolahnya namun doktor Fikri tetap bersabar. Kehadiran lima orang sahabat dalam hidupnya menceriakan hari-harinya . Dia berkongsi minat membaca dan menjual sayur-sayuran di Tamu Menggatal dengan rakan-rakannya. Akibat dendam . Doktor Fikri difitnah mencuri buku dari perpustakaan oleh Narius dan rakan-rakannya. Namun, rahsia akhirnya terbongkar apabila Narius ditangkap pihak polis kerana  mencuri basikal baharu Doktor Fikri dan akhirnya dijamin keluar oleh bapa Doktor Fikri. Hubungan Narius dan Doktor Fikri bertambah baik dan kemudian Doktor Fikri meninggalkan tanah air bersama dengan keluarganya ke Jepun. Setahun kemudian Doktor Fikri pulang dan rakan-rakan baiknya tyang dirindui.

Persoalan

       Terdapat banyak persoalan yang boleh kita pelajari dalan novel Di Sebalik Wajah. Antara persoalan yang ingin disampaikan oleh penulis ialah kasih sayang sesebuah keluarga. Kasih sayang ini ditunjukkan oleh Cikgu saiful terhadap anaknya.Cikgu saiful menyayangi anaknya yang baru dilahirkan walaupun anaknya itu cacat. Dia berharap agar anaknya  itu kelak akan menjadi seorang yang berguna dan mulia.
      Selain itu, persoalan yang dapat dilihat ialah balasan ke atas perbuatan jahat. Narius dan rakan-rakannya dikenakan hukuman setimpal kerana perbuatan jahat mereka. Tanpa disangka-snagka perbuatan Narius dan rakan-rakannya memeras ugut Doktor Fikri telah membawa akibat buruk kepada mereka.Mereka ditangkap dan dihukum oleh pengetua di hadapan murid-murid lain  sewaktu perhimpunan sekolah.
      Persoalan seterusnya ialah jenayah dan gejala sosial. Persoalan ini dapat dilihat melalui peristiwa Narius dan rakan-rakannya memeras ugut dan meminta cukai keselamatan daripada Doktor Fikri. Mereka juga tergamak menghabiskan bekalan makanan yang dibawa oleh Doktor Fikri ke sekolah. Di samping itu, mereka juga turut terlibat dengan kegiatan mencuri basikal dan bergerak di bawah arahan seorang ketua.
     Persoalan lain yang ingin disampaikan ialah  takdir yang tidak dapat dielakkan. Cikgu saiful dan Puan Halipah reda akan nasib mereka dikurniakan seoanag anak yang balar walaupun pada awalnya mereka tidak dapat menerima kenyataan bahawa bayi yang baru dilahirkan itu berbeza daripada bayi-bayi lain.Namun, pada akhirnya mereka pasrah serta reda akan ketentuan Tuhan kerana pada pendapat mereka, zuriat adalah anugerah buat setiap ibu dan bapa.
      Akhir sekali, persoalan yang ingin disampaikan oleh penulis  ialah cinta akan tanah air. Perasaan cinta akan tanah air dipamerkan oleh Doktor Fikri yang sering teringat akan tanah air ketika berada di negara Jepun. Dia selalu berasa rindu akan tanah air dan rakan-rakannya . Dia juga mengimpikan untuk menawan puncak Gunung  Kinabalu di Sabah.
   
Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Watak utama dalam novel Di sebalik wajah ialah Doktor Fikri. Doktor Fikri berusia 14 tahun dan merupakan anak tunggal kepada Cikgu saiful dan Puan Halipah. Bertubuh kecil  dan sentiasa berpakaian kemas. Keadanya balar manakala rambutnya pula kuning keemasan.
     Perwatakan Doktor Fikri pula ialah seorang yang rajin dan berdikari. Sifat ini terserlah apabila dia gigih memelihara ayam dan mengusahakan sayur-sayuran di kebunya  sehingga membuahkan hasil yang kemudiannya dijual di Tamu Menggatal. Hasil jualannya disimpan pula sebagai persiapan di kemudian hari, Dia tidak mahu bergantung kepada kedua-dua ibu dan bapanya.
      Seterusnya, perwatakan  doktor Fikri yang dapat dilihat ialah sabar . Sifat sabar Doktor Fikri sering diuji  apabila ia sering diperli dan diejek.Doktor Fikri juga tetap bersabar walaupun dituduh mencuri buku-buku di perpustakaan , pen dan dompet yang hilang.
      Perwatakan taat kepada perintah agama dipaparkan ketika peristiwa Doktor Fikri menunaikan kewajipannya sebagai muslim dengan menunaikan solat semasa berada di Chalet Taman Negara Kinabalu sebelum menunaikan pengembaraannya ke Gunung Kinabalu.
      Selain itu, gemar membaca merupakan perwatakan yang dimiliki oleh Doktor Fikri. Doktor Fikri berpendpat amalan membaca akan memperkaya ilmu pengetahuan. Sikap positif ini membolehkannya membuat satu perpustakaan mini di rumahnya.
      Akhir sekali, perwatakan Doktor Fikri yang jelas kelihatan ialah sikap berjimat cermat. Doktor Fikri lebih gemar membawa bekalan daripada makan di kantin sekolah. Dia juga gemar menabung sehinggakan wang simpanannya di dalam bank mencecah RM1000.00.

Watak sampingan

      Antara watak sampingan yang terdapat dalan novel ini ialah Cikgu Saiful.Cikgu Saiful merupakan suami Puan Halipah dan ayah kepada Doktor Fikri. Dia merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Tuaran, Sabah. Bagaimanapun dia telah meletakkan jawatan sebagai guru dan berkhidmat di sektor swasta.
      Perwatakan Cikgu Saiful merupakan seorang suami yang taat setia dan penyayang. Ketika isterinya Halipah mengandung, dia telah mencari daging rusa di persekitaran Kota Kinabalu demi memenuhi permintaan isterinya. Dia juga kelihatan cemas dan risau ketika isterinya berada di wad bersalin.
      Selain itu,Cikgu Saiful juga merupakan seorang ayah yang bertanggungjawab dan penyayang. Dia amat sayang akan anak tunggal mereka, iaitu Doktor Fikri. Dia sentiasa mengambil berat pelajaran dan kehendak anaknya. Contohnya dia membenarkan anaknya mempraktikkan Pendidikan Kemahiran Hidup dengan berkebun sayur-sayuran, menternak ayam dan menjual sayur-sayuran, malah dia turut membantu Doktor Fikri mengutip najis lembu di jalan raya sebagai baja sayur-sayuran.
       Cikgu Saiful juga seorang yang alim. Dia sentiasa menunaikan solat sembahyang. Ketika anaknya dilahirkan dia segera meminta kebenaran daripada jururawat untuk membaca azan anaknya. Cikgu Saiful juga mudah insaf akan kesilapannya. Contohnya pada mulanya, dia tidak percaya bahawa bayi yang balar itu adalah cahaya matanya. Setelah ditegur oleh doktor, dia segera insaf akan kesilapannya lalu menerima hakikat tersebut. Dia meminta maaf kepada bayi itu atas kezaliman dan bersyukur atas anugerah Tuhan itu.
       Akhir sekali, Cikgu Saiful seorang yang baik hati.Sikap baik hati ini ditunjukkan semasa dia berada di balai polis untuk mengambil basikal anaknya semula. Setelah dipujuk oleh Doktor Fikri, Cikgu Saiful mengambil keputusan untuk menjamin Narius keluar dari lokap walaupun budak lelaki itu sering membuli dan menganiaya anaknya.
      Watak sampingan yang seterusnya ialah Puan Halipah. Puan Halipah ialah isteri kepada Cikgu Saiful dan ibu kepada Doktor Fikri. Dia ialah seorang suri rumah tangga dan dan berpewatakan penyayang. Dia amat sayang akan suami dan anaknya, Doktor Fikri. Dia sentiasa membekalkan makanan kepada anaknya ke sekolah. Puan Halipah  juga seorang ibu yang bertanggung jawab dan mengambil berat pelajaran anaknya. Contohnya setiap petang dia pasti memeriksa buku latihan Doktor Fikri dan menemani anaknya membuat latihan. Dia berjaya memupuk tabiat membaca kepada anaknya.
Halipah juga seorang yang mesra. Ketika kawan sekelas Doktor Fikri datang ke rumah mereka, Halipah melayani mereka dengan mesra. Makanan dan minum segera dihidangkan.
     Selain itu watak yang dipaparkan ialah watak Josy seorang pelajar perempuan di Kelas Dua Mawar di SMK Menggatal. Berketurunan Dusun, berkulit cerah, berambut panjang yang diikat kemas dan mempunyai tahi lalat di tengah-tengah dahi.
Perwatakan Josy merupakan seorang yang mudah bergaul mesra dengan orang lain. Dia sanggup pergi ke Kelas Dua Mawar untuk berinteraksi dengan pelajar baru, iaitu Doktor Fikri. Josy juga bersikap setia kawan. Dia menaruh kepercayaan yang sepenuh kepada Doktor Fikri ketika Doktor Fikri didakwa sebagai pencuri. Dia sentiasa menasihati Doktor Fikri atas kejadian tersebut. Selain itu, Josy juga seorang yang baik hati. Dia memberikan kata-kata semangat kepada Doktor Fikri ketika Doktor Fikri hendak menyertai acara larian 1500 meter pada hari sukan sekolah.
     Watak-watak lain yang terdapat dalam novel ini ialah Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Azik .Mereka merupakan kawan baik kepada Doktor Fikri. Mereka tidak memandang serong terhadap Doktor Fikri yang merupakan budak balar. Mereka telah banyak memberikan bantuan kepada Doktor Fikri. Bagaimanapun, mereka turut tidak mempercayai Doktor Fikri seperti murid lain apabila Doktor Fikri didakwa sebagai pencuri. Mereka juga mencurigai kawan yang baru ini.
      Narius merupakan watak antagonis dalam novel ini.Narius merupakan murid Tingkatan Empat. Dia berasal daripada keluarga yang miskin dan ayahnya telah manakala adik-beradiknya banyak. Narius berpewatakan nakal dan bertindak ganas. Dia dan rakannya, Jais dan Jamadi merupakan gengster di sekolah mereka. Mereka sentiasa membuli murid yang lemah. Mereka sentiasa memeras ugut pelajar yang baru seperti Doktor Fikri. Setelah berguru dengan seorang banduan untuk belajar ilmu silat, sikap bertambah teruk sehingga sanggup mencuri harta di sekolah dan di luar sekolah sehingga dia ditahan oleh pihak polis,
Dia bersikap pendendam . Narius berdendam dengan Doktor Fikri yang disangka melaporkan kegiatan peras ugut mereka sehingga dirotan oleh pengetua, mereka sanggup menganiaya Doktor Fikri dengan memasukkan barang curian ke dalam beg sekolah Doktor Fikri.
Bagaimanapun, akhirnya dia telah insaf akan kesalahan setalah dibantu oleh Doktor Fikri dan Cikgu Saiful dengan membayar wang ikat jamin dari lokap, Sejak itu, dia menjadi kawan baik Doktor Fikri. Dia sanggup memohon maaf kepada semua pelajar Kelas Dua Mawar kerana telah mencemarkan nama baik kelas mereka dengan memasukkan barang curian ke dalam beg sekolah Doktor Fikri.
     Watak terakhir ialah watak Cikgu Wahab  merupakan seorang guru disiplin. Dia merupakan seorang yang bertanggungjawab dan tegas. Dia bersikap serius ketika berhadap dengan pelajar yang melanggar peraturan sekolah.Contohnya, beliau bertindak tegas ketika menahan Doktor Fikri yang datang lewat ke sekolah. Bagaimanapun, dia turut bersikap timbang rasa. Contohnya dia membuka pintu pagar dan membenarkan Doktor Fikri yang lewat ke sekolah kerana tidak tahu waktu persekolahan sekolah barunya.

LATAR

Latar Tempat

      Antara latar tempat yang terdapat dalam novel Di Sebalik Wajah ialah Hospital Ratu Elizabelt, Kota Kinabalu .Peristiwa yang berlaku di latar tempat ini ialah Cikgu Saiful berasa cemas ketika berada di luar bilik bersalin. Dia berdoa agar anak dan isteri akan selamat setelah agak lama isteri dihantar ke dalam bilik bersalin. Di situ, dia bertemu dengan seorang doktor Melayu yang bernama Doktor Fikri yang berbudi bahasa dan alim sehingga dia berhasrat untuk menamai anak yang bakal dilahirkan itu sebagai Doktor Fikri. Peristiwa yang terpenting ialah anak Cikgu Saiful dan Puan Halipah telah dilahirkan berpenyakit balar di hospital itu.
      Selain itu, Rumah Cikgu Saiful merupakan latar tempat yang juga terdapat dalam novel ini.Rumah ini terletak di 69, Taman Richdar, Menggatal. Rakan sekolah telah mengunjungi rumah ini dan disambut mesra oleh Puan Halipah di ruang tamu. Di bilik bacaan, mereka ternampak banyak buku yang ada di dalam rak. Mereka juga meminjam buku daripada Doktor Fikir. Di belakang rumah Doktor Fikri, dia menanam pelbagai jenis sayur seperti sawi, kacang bendi, tomato, cili dan menternak ayam. Dia telah membawa rakannya mengunjungi kebun sayurnya. Doktor Fikri sanggup mengutip tahi lembu sebagai baja tanamannya. Dia menjual hasil tanamannya di tamu dan menyimpan wang dalam bank .
     Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal juga merupakan salah satu latar tempat yang turut terdapt dalam novel Di Sebalik Wajah.SMK Menggatal merupakan latar tempat yang terpenting dalam perkembangan plot. Di situ, Doktor Fikri menuntut pelajaran. Dia merupakan pelajar kelas Dua Mawar. Dia mendapat banyak kawan baru, iaitu Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz. Dia juga menyertai lumba lari 1500 Lelaki B sehingga jatuh pengsan dalam beberapa langkah sebelum garis penamat. Dia sering mengunjungi perpustakaan di sekolah dan suka membaca buku di situ, Bagaimanapun dia turut dianiayai oleh pelajar samseng yang membuat dakwaan bahawa dia telah mencuri pen, buku perpustakaan, dompet dan sebagainya.
      Tamu di Pekan Menggatal “Tamu” merupakan pasar minggu yang lazimnya terdapat di pekan-pekan Sabah. Lazimnya penduduk peribumi, iaitu orang Dusun dan Kadazan akan membawa hasil tanaman mereka di tamu untuk dijual di samping bertemu dengan kawan. Doktor Fikri dan lima orang rakannya telah membawa sayur-sayuran ke tamu di pekan untuk dijual. Pada awal pagi, mereka telah tiba di situ. Mereka meletakkan sayur-sayuran di atas tikar di tepi jalan untuk dijual. Ada seorang wanita telah membeli seringgit sayur sawi. Tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Mereka terpaksa berteduh di kaki lima kedai. Sayur-sayuran itu tidak dapat dijual. Walaupun hanya mendapat hasil jual sebanyak seringgit sahaja, Doktor Fikri masih sabar dan menasihati rakannya bahawa dalam ilmu perdagangan, untung dan rugi adalah lumrahnya.
     Balai Polis Pekan Menggatal merupakan tempat dimana Doktor Fikri dan ayahnya Cikgu Saiful telah ke Balai Polis Pekan Menggatal untuk mengambil balik basikal yang telah dicuri. Di situ, Doktor Fikri telah menjumpai Narius telah ditahan di dalam lokap. Narius menangis kerana ayahnya yang tua tidak mampu mengeluarkan wang untuk mengikat jaminnya keluar dari balai polis. Doktor Fikri segera merayu ayahnya untuk mengikat jamin terhadap Narius walaupun Narius pernah memeras ugutnya, mencuri basikal baharunya dan menganiayainya, iaitu sengaja memasukkan barang yang dicuri ke dalam begnya.
      Di samping itu,Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu diselitkan dalam novel ini sewaktu Doktor Fikri dan ibu bapa balik dari Osaka, Jepun. Mereka tiba di lapangan itu dan disambut oleh rakannya,Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz. Setelah setahun berpisah, mereka gembira dapat bertemu semula.
      Akhir sekali, latar tempat yang dipaparkan dalam Novel Di Sebalik Wajah ialah Gunung Kinabalu .Doktor Fikri dan ibu bapanya telah menginap di sebuah chalet di Taman Negara Kinabalu. Udara di situ sungguh nyaman malah dingin dan terdapat pemandangan yang mempesonakan, iatu Gunung Kinabalu yang tinggi dan tersergam serta kaya dengan flora yang unik. Ketika tiba di tengah lereng gunung itu, iaitu Panalaban, mereka bermalam di situ dan akan meneruskan pendakian gunung pada keesokan subuh pagi. Bagaimanapun pada malam itu, Doktor Fikri bermimpi dan mengigau sehingga terjatuh dari katil .

Latar Masa

Latar masa dalam novel Di Sebalik Wajah ialah zaman moden atau zaman sekarang, iaitu berlaku pada tahun 1990-an dan 2000-an. Jarak masa novel ini dalam tempoh 15 tahun.
      Salah satu peristiwa yang berlaku pada waktu pagi ialah lima orang rakan Doktor Fikri telah datang ke rumahnya pada awal pagi. Mereka membantu Doktor Fikri membungkus sayur-sayuran lalu mengayuh basikal ke tamu untuk dijual. Selain itu, pada waktu pagi hari kedua belajar di SMK Menggatal, Doktor Fikri menunggang basikal baharunya ke sekolah. Dia terlewat dan pintu pagar telah terkunci. Akhirnya Cikgu Wahad telah memberikan amaran kepadanya supaya tidak lewat ke sekolah lalu membuka pintu untuknya. Seterusnya, pada suatu pagi, Doktor Fikri dan ibu bapanya bangun dengan awal kerana hendak mendaki gunung. Oleh sebab terlalu sejuk, mereka tidak mandi lalu mengemaskan semua bekalan untuk menaiki sebuah lori ke kaki bukit.
Latar masa kedua ialah Peristiwa yang berlaku pada waktu petang ialah lima orang rakan Doktor Fikri telah melawat ke rumahnya yang dua tingkat. Mereka telah dibawa ke bilik bacaan Doktor Fikri. Mereka juga mengunjungi kebun sayur-sayuran Doktor Fikri di belakang rumah. Mereka bergurau senda di situ. Salah satu peristiwa yang berlaku pada waktu petang ialah sebulan menjelang hari sukan tahunan sekolah, setiap petang Doktor Fikri dan rakan-rakannya akan pergi ke sekolah untuk menjalani latihan sukan. Pada suatu petang, dalam perjalanan ke sekolah, Doktor Fikri ditahan oleh tiga orang pelajar Tingkatan Empat kerana mereka mengugutnya supaya membayar wang keselamatan. Selain itu, pada suatu petang, Doktor Fikri dan ayahnya telah pergi ke balai polis untuk mengambil balik basikalnya yang telah dicuri. Di situ dia ternampak ayah Narius yang tua dan tidak mampu mengikat jamin Narius kerana keluarga mereka yang miskin.
      Latar masa yang terdapat dalam novel ini juga ialah pada waktu malam.Peristiwa yang berlaku pada waktu malam ialah Doktor Fikri telah bermimpi ngeri sehingga dia mengigau. Dia bermimpi bahawa dia tersesat jalan ketika mendaki gunung lalu bertempur dengan seorang naga. Untuk mengelakkan serangan naga dia terjatuh ke gaung. Akibatnya dia menjerit sehingga menjagakan ibu bapanya.


Latar Masyarakat
     
        Penulis  menggambarkan satu latar masyarakat dalam latar tempat ini, iaitu masyarakat yang berbilang bangsa dan agama,  India, Melayu dan Cina. Contohnya,Cikgu Saiful bapa kepada Doktor Fikri,Doktor Vasuthevan yang bertanggungjawab membedah Puan Halipah dan Cikgu Girlie Tan berbangsa Cina selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Kebangsaan Menggatal.
     Selain itu, latar masyarakat yang mengetengahkan ialah golongan murid sekolah dan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai jenis pekerjaan. Contohnya masyarakat yang bekerja sebagai guru, pemandu , pelancong, suri rumah dan peniaga.
       Masyarakat yang turut dipaparkan ialah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.Tiga golongan utama yang terdapat dalam novel ini ialah golongan remaja , golongan dewasa dan golongan tua. Contoh golongan remaja yang terdiri daripada murid-murid sekolah seperti Narius, Doktor Fikri, Sanin, Aziz, Josy dan pelajar-pelajar lain. Manakala golongan dewasa pula teriri daripada Cikgu Saiful, Puan Halipah, Cikgu Wahab, Cikgu Fatmahwati, Puan Hamdah dan jurupandu di Gunung Kinabalu. Golongan tua pula ialah seorang lelaki tua yang berumur dalam lingkungan 50-an yang sedang menunggu anaknya bersalin.
     Akhir sekali, masyarakat yang mendiami kawasan pekan. Memfokuskan masyarakat yang tinggal di kawasan pekan dan bandar . Contohnya, Cikgu Saiful dan keluarga yanag tinggal di Taman Richda,Menggatal.

PLOT
Plot ialah susunan atau jalinan peristiwa berdasrkan sebab dan akibat.
Terdiri daripada    i) binaan plot              ii)Teknik plot

Binaan Plot
     Binaan Plot yang pertama ialah permulaan. Bahagian permulaan plot novelDi Sebalik Wajah mengisahkan Cikgu Saiful yanag menunggu kelahiaran bayinya di Hospital Ratu Elizabeth.
Kemudian, isterinya Puan Halipah telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki, namuan bayi itu balar. Anak itu dinamakan Doktor Fikri.
     Perkembangan plot ialah sewaktu Doktor Fikri berumur 14 tahun dan betukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal kerana mengikut bapanya berpindah. Dia mejadi bahan ejekan di sekolah kerana namanya yang unik dan penampilannya yang berbeza. Namun dia tenang dna sabar menghadapinya. Di Sekolah, dia berkawan baik dengan Sanin,Aziz, Dayang Mahani, Suriani dan Josy. Doktor Fikri berkongsi hobinya iaitu berkebun dengan lima orang rakannya.
Doktor Fikri dibuli oleh Narius dan rakan-rakannya.Mereka memeras ugut  Doktor Fikri untuk memberikan wang sebagai cukai kepada mereka.Namun akhirnya mereka tertangkap oleh pihak sekolah dan dihukum rotan di hadapan perhimpunan sekolah.Rentetan itu mereka berdendam kepada Doktor Fikri yang disangka telah melaporkan kejadian tersebut kepada guru disiplin.
Mereka memfitnah Doktor Fikri mencuri  buku-buku perpustakaan, pen dan dompet yang dilaporkan hilang . Nama baik Doktor Fikri tercemar dan dipulaukan oleh rakan-rakanya.
       Klimaks plot ini diteruskan dengan peristiwa Narius dan rakan-rakanya ditahan polis atas tuduhan mencuri . Mereka berkomplot di bawah kelolaan seorang bekas  banduan. Cikgu saiful menamin  Narius keluar dari lokap atas pujukan Doktor Fikri. Setelah itu , hubungan Narius dan Doktor Fikri menjadi rapat. Kehilangan Doktor Fikri selama dua hari menjadi tanda tanya. Rakan-rakannya berasa khuatir akan kemungkinan bahawa Doktor Fikri terjerumus kearah kejahatan.
      Novel ini diakhiri dengan peleraian plot. Narius memberikan sepucuk surat daripada Doktor Fikri kepada Aziz dan rakan-rakannya. Doktor Fikri mengikut ayahnya menyambung pelajaran di jepun selama lima tahun. Setelah setahun merantau, Doktor Fikri kembali bercuti ke tanah air dan kepulangannya disambut mesra oleh rakan-rakan baiknya. Akhir sekali,Doktor Fikri dan keluaganya mendaki puncak Kinabalu.

Teknik Plot

1.  Imbas kembali (flashback)
Watak megingatkan kembali peristiwa ataupun dicerita secara langsung oleh pengarang.
Contoh: Ingatan Cikgu Saiful menerawang pada ketika isterinya mula-mula mengandung dahulu. Puan Halipah mengalami munta-muntah sewaktu kandungannya berusia dua bulan.Dia juga hilang selera makan.
2.  Imbas muka
Sesuatu yang belum berlaku tetapi dibayangkan akan berlaku.
Contoh: Puan Halipah berasa risau apabila membayangkan jika anak yang dilahirkannya kelak cacat sebaik-baik sahaja dia melihat bayi-bayi yang ada di dalam klinik semasa dia ingin membuat pemeriksaan.
3.  Saspens
Dikenali sebagai unsur ketegangan. Lebih dikenali sebagai unsur tertanya-tanya  dan pembaca ingin mengetahu kisah selanjutnya.
Contoh:Pembaca tertanya-tanya akan nasib dan masa depan Doktor Fikri yang cacat.Apabila bersekolah, dia diejek oleh rakan-rkan dan beberapa orang guru. Di sini , pembaca akan dapat melihat kemampuan  Doktor Fikri menangani ayau menepis semua ejekan itu sama ada meneruskan persekolahan atau tidak.
4.    Konflik
Konflik bermaksud pertentangan  atau pertikaian antara dua pihak.Terdapat dua jenis konflik iaitu konflik luaran dan konflik dalaman.Konflik luaran ialah pertentangan manusia dgn manusia, manusia dengan alam, dan manusia dengan haiwan. Bukan setakat pertentangan fizikal tetapi juga pertentangan pendapat, idea dan sikap .
Contoh: Pertelingkahan yang berlaku antara Doktor Fikri dengan Narius dan rakan-rakannya. Narius mengugut  Doktor Fikri supaya membayar cukai keselamatan kepadanya tetapi Doktor Fikri tidak memberikannya kerana tidak mempuyai wang pada ketika itu.
            Konflik dalaman pula ialah pertentangan watak dengan dirinya sendiri.
Contoh:
Doktor Fikri berasa gelisah apabila memikirkan balasan yanag mungkon diterima nya selepas Narius, Jais dan Jamadi dikenakan hukuman rotan.
5.    Dialog
Bermaksud pertuturan ataupun perbualan
Contoh: Dialog yang diucapkan oleh Cikgu Saiful ketika memberitahu isterinya, Puan Halipah nama yang bakal diberikan kepada bayi lelaki mereka.Daia meletakkan nama Doktor Fikri bersempena nama seorang doktor yang budiman yang turut bersolat di surau bersama-samanya dan mendoakan keselamatan Puan Halipah dan anak mereka.
6.    Monolog Dalaman
Kata-kata yang terucap dalam hati seseorang watak.
Contoh:Doktor Fikri bercakap dalam hatinya tentang rakan-rakannya yanag sedang berbisik dan ketawa. Doktor Fikri menganggap rakan-rakannya itu sedang memperkatakan sesuatu tentang dirinya.
7.    Monolog
Pertuturan atau rungutan yanag dilahirkan oleh seseorang watak.Monolog selalunya tidak disambut oleh watak lain.
Contoh: Monolog yang dilahirkan oleh Cikgu Saiful yang merungut sendirian ketika menunggu isterinya bersalin.
8.    Pemerian/keperihalan
Pengarang menceritakan sesuatu secara langsung tidak kira sama ada aspek latar ataupun perwatakan.
Contoh: Pengarang mengetengahkan latar masa iaitu pada waktu petang. Pada petang itu. Narius, Jais dan Jamadi duduk di bawah sebatang pokok yang rendang sambil menunggu Doktor Fikri pulang dari sekolah. Pokok itu terletak di pinggir jalan.

Nilai-nilai murni

      Salah satu nilai dalam novel ini adalah rajin. Watak utama Doktor Fikri merupakan seorang budak yang rajin. Dia sanggup menanam sayur-sayuran dan menjual hasilan tanaman di tamu. Dia juga tekun membaca buku.
     Selain itu, nilai kasih sayang jelas terpapar dalam watak Cikgu Saiful dan Puan Halipah. Mereka sangat sayang akan anak kandung mereka dan sentiasa memenuhi kehendak anak kesayangan. Sebagai contoh, Cikgu Saiful sanggup menemani anak mengutip najis lembu sebagai baja sayur-sayuran ketika diminta oleh anak mereka.
     Nilai tabah turut digambarkan dalam diri doktor Fikri sebagai seorang pelajar. Dia tabah menghadapi layanan rakannya yang telah salah faham akannya. Dia sentiasa tabah menghadapi layanan yang buruk daripada murid yang lain.
     Doktor Fikri juga mengamalkan nilai sedia memaafkan  dan tidak menaruh dendam terhadap orang yang pernah menganiayainya, iaitu Narius yang meletakkan barang dicurinya ke dalam beg Doktor Fikri. Doktor Fikri bukan memaafkan Narius malah meminta ayahnya mengikat jamin terhadap Narius kerana terlibat dalam kes kecurian.
      Di samping itu,nilai simpati terpapar sewaktu Doktor Fikri bersikap simpati terhadap nasib Narius, iaitu keluarganya miskin, bapanya sudah tua dan tidak mampu mengikat jaminnya keluar dari lokap. Doktor Fikri segera meminta ayahnya menghulurkan bantuan.
      Dalam novel di sebalik Wajah juga dipaparkan nilai bertanggungjawab .Kakitangan perubatan di Hospital Ratu Elizabelt menjalankan tugas dengan bertanggungjawab. Mereka melayani keluarga pesakit dengan mesra. Hal ini terpapar oleh jururawat Cina yang membenarkan Cikgu Saiful mengucapkan nazar kepada anaknya yang dilahirkan. Doktor yang berketurunan India juga menjalankan tugas dengan amanah. Selain itu pengetua SMK Menggatal sanggup merotan pelajar yang terlibat dalam kes peras ugut di dewan sekolah. Cikgu Wahab juga melaksanakan tugasnya sebagai guru disiplin dengan tegasnya.
      Nilai berjimat cermat ditunjukkan oleh Doktor Fikri melalui sikapnya yang  sentiasa membawa bekalan emaknya ke sekolah daripada berbelanja di kantin untuk menjimatkan wang.
     Nilai Alim turut dipaparkan melalui watak Doktor Fikri yanag bekerja di Hospital Ratu Elizabelt merupakan seorang yang alim dan bersopan santun. Ketika melihat Cikgu Saiful dalam keadaan yang gelisah, dia turut mengajak Cikgu Saiful menjalankan solat sembahyang di bilik surau di hospital tersebut. Sikapnya yang mulia turut menyebabkan Cikgu Saiful hendak menamai anak lelakinya sebagai “Doktor Fikri”.
     Akhir sekali nilai Gigih juga terdapat dalam Doktor Fikri. Nilai ini dapat dilihat ketika menyertai acara lumba lari 1500 lelaki B, dia tidak berputus asa walaupun lututnya sakit dan berasa sukar bernafas. Bagaimanapun dia jatuh pengsan ketika mendekati garis penamat.
Selain itu ketika mendaki Gunung Kinabalu, Doktor Fikri dan ibu bapanya tidak berpatah semangat untuk meneruskan pendakian walaupun berasa penat, sejuk, susah bernafas serta kaki yang sakit.

Pengajaran

      Berdasarkan novel Di Sebalik Wajah, pengajarannya ialah kita harus tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Contohnya sebagai anak balar yang cacat dari segi kulit, Doktor Fikri sentiasa tabah dan sabar ketika diejek, disindir malah dianiaya oleh murid lain.
     Pengajaran yang seterusnya ialah kita harus sedia memaafkan kesalahan orang lain. Contohnya Doktor Fikri sedia memaafkan Narius yang pernah memeras ugut terhadap malah meminta ayahnya membantu Narius keluar dari lokap polis dengan membayar wang ikat jamin.
      Selain itu, kita perlu rajin untuk mengusahakan sesuatu kerja. Contohnya Doktor Fikri mengerjakan kebun sayur-sayurannya di belakang rumah pada setiap petang. Dia sanggup mengutip najis lembu sebagai baja. Selain itu dia juga menjualkan hasil tanaman di tamu.
Bukan itu sahaja, terdapat pengajaran tentang kita perlu bertanggungjawab terhadap kerjaya kita. Misalnya kakitangan Hospital Ratu Elizabelt dapat menjalankan tugas dengan baik.
      Di samping itu, kita perlu berjimat cermat dalam kehidupan kita. Doktor Fikri sentiasa berjimat cermat dan membawa bekalan ibu ke sekolah tanpa berbelanja di kantin. Wang simpanan mencapai seribu ringgit di bank. Dia dapat membeli basikal barunya dengan wang simpanan sendiri.
      Tambahan pula, terdapat pengajaran kita harus hormat dan taat kepada ibu bapa. Contohnya, Doktor Fikri sentiasa mematuhi perintah ibu bapanya. Dia juga meminta kebenaran ibu bapanya dahulu sebelum bertindak, seperti membeli basikal dengan wang simpanan sendiri.
      Pengajaran lain ialah ibu bapa harus mengambil berat pelajaran anak mereka. Contohnya ketika Doktor Fikri belajar , ibunya puan Halipah pasti akan memeriksa buku latihan dan bertanya tentang pelajarannya di sekolah.
      Akhir sekali,terdapat pengajaran tentang ibu bapa harus menerima kelahiran anak yang tidak sempurna dari segi fizikal. Tamsilnya pada mula Cikgu Saiful sukar menerima bayinya agak berbeza dengan bayi yang lain, anaknya ialah anak balar. Bagaimanapun atas nasihat doktor, dia telah menyesal atas sikapnya dan sedia menerima bayi yang cacat dari segi kulit.





5 ulasan:

  1. you arethe best cikgu
    saya tabik :)

    BalasPadam
  2. alhamdulillah , siap pun kerja rumah untuk mencari plot2 yang cikgu suruh :D

    BalasPadam
  3. amat membantu sy . thanks cikgu ..

    BalasPadam
  4. Ini memang membantu saya utk siapkan buku skrap. Thanks cikgu! :D

    BalasPadam